Wednesday 6 May 2015

Kekangan masa antara faktor undi belia Felda merosot?..

Kekangan masa antara faktor undi belia Felda merosot

6 MEI : Kekangan masa pengundi yang tidak dapat pulang ke Rompin antara faktor utama undian belia Felda merosot, kata Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Abdul Manap.

Jelasnya lagi, tarikh membuang undi itu sehari selepas cuti panjang selama empat hari sekaligus menyukarkan pengundi Rompin yang berada di luar kawasan mengambil cuti tambahan bagi menguruskan perihal-perihal lain.

“Ramai pengundi yang tidak dapat balik mengundi kerana ada yang bekerja terutamanya di Kuala Lumpur, ada juga yang menggunakan masa cuti lama ini pergi bercuti bersama keluarga.

“Dan bila kita buat lawatan ke beberapa rumah golongan Felda, kebanyakan ibu bapa mereka memberi respon anak-anak mereka tak dapat balik disebabkan faktor yang saya sebutkan tadi,” katanya menerusi Whatsapp kepada BNBBC.my.

Beliau mengulas kekurangan pengundi di saluran tiga dan empat membabitkan golongan muda pada PRK Parlimen Rompin semalam.

Calon BN, Datuk Hasan Arifin berjaya menewaskan calon PAS  Nazri Ahmad dengan majoriti 8,895 undi.

Namun, sokongan pengundi Felda kepada PAS dalam PRK Rompin itu meningkat 12 peratus berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Mengulas perkara itu, Anuar yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, walaupun sesi penerangan dan makluman tentang Felda dan FGV (Felda Global Ventures) telah dibuat, namun masih ada yang tidak berpuas hati dan terus menyalahkan organisasi tersebut.

Tambahnya lagi, antara faktor lain yang mempengaruhi undian adalah permainan politik pembangkang yang menggunakan isu nasional seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menyebabkan pengundi terpengaruh dengan strategi tersebut.

“Kalau pergi ke kempen, mereka sempat mengedar  beberapa risalah tentang GST dan turut dimainkan isu konflik di antara Tun Mahathir Mohamad dan juga Perdana Menteri kita, jadi strategi ini semua mempengaruhi mereka untuk mengundi PAS,” ujarnya.

Walaubagaimanapun, isu penurunan harga rumah memberi kesan positif kepada golongan generasi kedua dalam membantu BN kekal menang.


Sementara itu Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sekarang bukan masa untuk melihat peningkatan atau penurunan majoriti kemenangan, namun terus melihat satu dimensi baru bagi kawasan Parlimen Rompin di bawah naungan BN.

Beliau  percaya dan yakin pengundinya akan terus mendapat nikmat daripada sokongan berterusan kepada BN.

“Kita berjaya menerangkan banyak isu sepanjang kempen, Alhamdulillah rakyat faham keperluan pelaksanaan GST, dan Puteri akan terus beri penerangan kepada rakyat,” katanya kepada BNBBC.my

Baginya, pergerakan itu tidak pernah lupa kepada visi dan misi untuk memastikan pelbagai persoalan semasa dijawab.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, bersyukur 1,500 petugas dari Puteri UMNO seluruh negara yang berkampung di Rompin dapat melaksanakan tugas dengan baik.


No comments:

Post a Comment