Wednesday 22 April 2015

Empat Cadangan Penambahbaikan Skim

KWSP Lancar Rundingan Untuk Empat Cadangan Penambahbaikan Skim

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melancarkan rancangan rundingan ahli untuk empat penambahbaikan utama terhadap skim KWSP.

 Keempat-empat inisiatif tersebut adalah: 

• Memberi pilihan terhadap penyelarasan umur Pengeluaran Penuh dengan Umur Persaraan Minimum yang ditetapkan oleh Kerajaan. Tiada perubahan dibuat terhadap pengeluaran pra-persaraan sedia ada;

• Penyelarasan amaun caruman minimum berdasarkan Gaji Minimum yang ditetapkan di bawah undang-undang yang berkaitan; 

• Melanjutkan bayaran dividen daripada umur 75 sehingga 100 tahun; dan

• Memperkenalkan simpanan persaraan patuh Syariah sebagai tambahan kepada skim simpanan persaraan sedia ada. Ahli boleh membuat pilihan untuk bertukar kepada simpanan persaraan patuh syariah apabila ia diperkenalkan kelak.

 Cadangan tersebut adalah untuk menangani isu-isu berkaitan ketidakcukupan simpanan persaraan di kalangan ahli KWSP dalam jangka panjang. Mengikut statistik KWSP, 78 peratus ahli aktif KWSP pada umur 54 tahun tidak mencapai simpanan asas mereka iaitu RM196,800 dan 68 peratus ahli KWSP berumur 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000. 

 Semasa taklimat, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “KWSP menggunakan kaedah perundingan untuk mendapatkan maklum balas daripada ahli mengenai cadangan tersebut. Ini juga merupakan platform yang baik untuk ahli memahami isu dan cabaran berkaitan persaraan mereka.

 “Berkenaan isu semasa mengenai penyelarasan umur pengeluaran dengan umur persaraan, ahli akan diberi dua cadangan untuk pertimbangan. Cadangan pertama adalah untuk menganjakkan umur pengeluaran penuh daripada umur 55 ke 60 tahun secara berperingkat dalam tempoh 15 tahun. Pilihan secara berperingkat ini telah diperkenalkan di negara lain yang menghadapi situasi yang sama. Cadangan kedua adalah untuk mengekalkan pengeluaran pada umur 55 tahun untuk simpanan sedia ada dan memperkenalkan pengeluaran umur 60 tahun bagi mereka yang terus bekerja dan mencarum selepas umur 55 tahun.”

 “Selain itu, ahli KWSP juga diminta memberikan pendapat mereka mengenai cadangan memperkenalkan caruman tambahan bagi ahli yang mempunyai gaji di bawah paras gaji minimum bulanan. Cadangan ini bertujuan menangani isu yang dihadapi sebahagian besar pekerja yang dibayar caruman rendah daripada amaun caruman berdasarkan Gaji Minimum yang ditetapkan di bawah undang-undang yang berkaitan.”

 Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai cadangan dan pilihan di laman web myEPF (www.kwsp.gov.my) mulai Selasa, 21 April 2015. Ahli KWSP boleh memberikan pandangan dan komen berkaitan cadangan dan pilihan ini melalui i-Akaun.

“Melalui i-Akaun, kami boleh menjamin keselamatan penerimaan maklumat daripada ahli KWSP yang menyertai rundingan tersebut. Ia juga membolehkan kami mengumpul maklum balas secara teratur dan memastikan proses integriti dipatuhi.

“KWSP ingin menjelaskan bahawa setakat ini tiada keputusan dibuat mengenai cadangan tersebut dan kami amat menggalakkan ahli menyertai rundingan ini kerana maklum balas mereka adalah sangat penting terhadap KWSP,” tambah Datuk Shahril.

 


No comments:

Post a Comment